-
You have no Print Order(s)!
Melaka, 13 Februari 2026 — Percetakan ASI telah berjaya menganjurkan Management Retreat 2026: Keseragaman Operasi dan KPI Tahunan yang berlangsung di Rosa Malacca. Program sehari ini diadakan bagi menyelaraskan gerak kerja antara unit, memperincikan sasaran tahunan serta memperkukuhkan strategi operasi syarikat bagi tahun 2026.
Seramai barisan pengurusan dan kakitangan utama daripada Unit Operasi, Reka Bentuk (Designer), Sumber Manusia (HR) serta Jualan telah terlibat secara langsung dalam sesi perbincangan dan pembentangan yang diatur sepanjang program berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi yang menekankan kepentingan keseragaman sistem kerja, disiplin organisasi dan pencapaian KPI yang jelas serta terukur. Ucapan tersebut turut menyentuh keperluan untuk bergerak secara seiring dalam menghadapi cabaran industri percetakan yang semakin kompetitif.
Sesi perbincangan gerak kerja dimulakan dengan pembentangan daripada Unit Operasi, diikuti Unit Designer dan HR. Setiap bahagian memperincikan skop tugasan, cabaran semasa serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan aliran kerja lebih tersusun dan efisien. Perbincangan ini diteruskan dengan sesi memperhalusi tugasan setiap unit agar tidak berlaku pertindihan peranan serta meningkatkan tahap akauntabiliti.

Antara pengisian penting lain termasuk taklimat disiplin organisasi, taklimat pembangunan website syarikat, serta perbincangan mendalam mengenai KPI tahunan, sasaran jualan dan pelaksanaan strategi pemasaran digital termasuk platform TikTok sebagai medium promosi baharu. Perbincangan ini memberi fokus kepada pendekatan lebih agresif dan kreatif dalam memperluaskan capaian pasaran.
Pada sebelah petang, sesi cadangan dan usul dibuka kepada semua kakitangan sebagai ruang menyuarakan pandangan secara terbuka. Sesi ini dilihat sebagai langkah positif dalam membudayakan komunikasi dua hala serta memperkukuhkan semangat kerja berpasukan.
Program turut menyaksikan pengumuman penting berkaitan elaun dan insentif sebagai galakan kepada kakitangan dalam mencapai sasaran yang ditetapkan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah, sesi bergambar serta penutup rasmi sebelum semua peserta bersurai pada jam 6.00 petang.
Secara keseluruhannya, Management Retreat 2026 berjaya mencapai objektif dalam menyatukan visi, memperjelaskan hala tuju serta memperkukuhkan komitmen warga kerja Percetakan ASI. Diharapkan segala perancangan dan strategi yang dirangka dapat dilaksanakan dengan konsisten sepanjang tahun, seterusnya memacu syarikat ke tahap prestasi yang lebih cemerlang.



